
Walaupun saya seorang yang pernah belajar di sekolah berbahasa penghantar Inggeris semasa di sekolah menengah tapi saya masih hasil sekolah kebangsaan di peringkat sekolah rendah. Itu pun yang berkeras mahu hantar saya ke sekolah Inggeris adalah ayah sedangkan saya amat selesa dihantar ke sekolah menengah kebangsaan sahaja. Jadi walaupun bersekolah Inggeris dan akhirnya menghabiskan hampir 6 tahun dari kehidupan saya di US, jiwa saya masih lagi jiwa seorang nasionalis. Saya masih kental pada kepercayaan saya bahawa jika kita mahu membina bangsa Malaysia yang bersatu padu, Malaysia tidak dapat untuk melarikan diri dari menyokong gagasan satu sekolah untuk semua, iaitu sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama untuk setiap anak-anak kita.
Secara logiknya saya tidak nampak bagaimana Malaysia akan dapat merialisasikan konsep 1Malaysia, “Malaysian Malaysia” mahupun “Middle Malaysia” jika anak-anak kecil kita dipisahkan sejak dari umur 7 tahun lagi untuk belajar mengenali ABC dalam kelompok mengikut kaum masing-masing sahaja. Jika sudah bercampur dengan bangsa sendiri, bertutur dalam bahasa sendiri dan makan serta berinteraksi dalam linkungan budaya bangsa sendiri, bila pula anak-anak kita ini boleh mengenali dan memahami kebudayaan serta adat resam kaum lain?
Pernah satu hari saya amat terkejut mendengar seorang murid darjah dua mengatakan “budak India semuanya jahat”. Semudah itu telah dibina persepsi bahawa murid dari suatu kaum itu semuanya jahat. Dari mana dia belajar semua ini? dari guru? rakan sebaya? Atau apakah kerana persekitaran sekolah yang “homogenous” membuatkan anak-anak kita tidak berpeluang untuk mengenali rakan-rakan dari kaum lain semasa di sekolah. Nak kenal macam mana jika di sekolah kebangsaan hanya terdapat beberapa kerat sahaja murid-murid dari kalangan bukan Melayu. Sekolah kebangsaan apa namanya tu! Memang sah lah kata pepatah – tak kenal maka tak cinta.
Saya pernah berkenalan dengan seorang eksekutif hartanah Cina berumur awal 50an yang berpendidikan sekolah Cina dan mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik. Beliau ini amat bersemangat dengan konsep Malaysian Malaysia. Tapi sayang, semasa perdebatan di TV antara Dato Sabri Chik dengan DS Anwar Ibrahim, beliau dengan selamba mengakui tidak memahami apa yang diperdebatkan kerana beliau tidak fasih berbahasa Melayu. Sedih bukan. Itulah realitinya kehidupan masyarakat majmuk Malaysia. Cakap politik berkobar-kobar tapi bahasa kebangsaan sendiri bukan sahaja tak fasih malah tak faham. Amat memalukan.
Bagi saya, demi untuk kepentingan masa depan negara Malaysia yang kita cintai ini, kita harus mengenepikan sentimen politik sempit dan sedia melapangkan dada menerima serta memastikan sekolah kebangsaan sebagai “the school of choice” bagi anak-anak kita. Saya tak akan percaya bahawa anak-anak kita akan hilang sifat Cinanya, Ibannya mahupun Indianya hanya dengan menghantar mereka-mereka ini untuk belajar di sekolah kebangsaan.
Hanya dengan menyokong perjuangan “Satu Sekolah Untuk Semua” sahajalah yang akan dapat menjamin sebuah negara Malaysia yang bersatu padu dan teguh di masa hadapan.
SATU BAHASA, SATU BANGSA, SATU NEGARA.
Salam. Jumpa lagi nanti
Haji Yaziz Yunus
01-01-2010